Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
Pokok air pancut, tumbuhan saka jimat kos serikan landskap ibu pejabat MARDI
USAHA
menguruskan kawasan seluas 728.4 hektar bukanlah satu kerja mudah
apalagi membangunkan landskap di kawasan luas yang turut menempatkan
sebuah tasik, hutan simpan, kebun dan ladang tanaman serta ternakan.
Tanpa menggunakan khidmat kontraktor landskap luar, Pengurus Stesen MARDI, Zainudin Meon, berkata landskap yang dihasilkan adalah idea kreatif kakitangan bahagian pengurusan stesen dengan menampilkan konsep tropika yang kontemporari.
“Sejak setahun lalu, kita tukar penggunaan pokok bermusim kepada tumbuhan saka yang lebih tahan lama dan tidak perlu ditukar setiap tiga bulan sekali seperti amalan sebelum ini.
“Selain tahan lama, pembinaan landskap menggunakan tumbuhan saka yang jimat kos kerana tidak perlu penyelenggaraan kerap selain impak landskap berkekalan. Namun, penggunaan tumbuhan bermusim dan berbunga tetap dipraktikkan tetapi penggunaannya terhad,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dr Zainuddin berkata, penggunaan tumbuhan berbunga masih diperlukan, namun penggunaan pokok bunga bermusim dikurangkan bukan hanya bagi mengurangkan kos tetapi turut mengurangkan penyelenggaraan.
“Justeru, kita memilih pokok berbunga sepanjang tahun seperti Lophanthera lactescens yang dikenali sebagai Golden Chain selain pokok tahan lasak dan kurang penjagaan seperti Fucraea foetida dan Giant Pandanus. Dulu kita banyak menanam bunga tahi ayam (marigold), lantana dan argentea L. var. cristata (balung ayam), tapi pokok ini tidak tahan lama dan perlu ditukar setiap tiga bulan.
“Selepas mengambil kira kos dan tenaga kerja yang lebih banyak menghabiskan masa menyelenggarakan pokok, maka saya sarankan hanya pokok tahan lasak dan kurang penyelenggaraan dipilih selain mengambil kira tumbuhan pilihan masa kini seperti bonsai Cina (Loropetalum chinese) dan pelbagai jenis cordyline serta puding,” katanya.
Bagi membangkitkan landskap, beberapa batas bunga turut dibentuk menyamai elemen kolam, air terjun, bintang dan geometri.
Malah, sejurus masuk ke pintu utama MARDI, tetamu disambut batas tumbuhan menyamai sebuah kolam dengan air pancut di tengah-tengah. Pokok Fucraea foetida dijadikan seperti pancuran air manakala pelbagai jenis cordyline serta dracaena marginata ‘tricolor’ digabungkan seperti air pancut. Pokok bonsai Cina dan Zephyranthes candida, atau lebih dikenali sebagai Fairy Lily atau White Rain Lily menghiasi tepi batas seakan-akan sempadan atau bingkai kolam. Sayangnya, pokok ini tidak berbunga ketika kunjungan kami.
Di satu sudut lain berdekatan dengan tugu mercu tanda MARDI, dibina deretan pokok bonsai Cina, pokok puding dan Breynia disticha ditanam seperti bentuk bintang manakala Heliconia psittacorum Lady Di ditanam mengelilingi tugu.
Berhampiran pejabat pentadbiran MARDI pula dibina kolam dan pancuran air dengan pokok pandanus, pokok duit-duit, Monstrea deliciosa (ceriman), sanserveria dan melati air menghias setiap sudut laman. bagi mewujudkan suasana mesra pengunjung, kolam itu dilengkapi pelantar kayu di beberapa sudutnya manakala pasu dan batu buatan serta konkrit melengkapkan hiasan kolam.
Air kolam dibiarkan berwarna hijau manakala ikan koi menyerikan lagi kolam dan mencetuskan suasana resort peranginan mewah. Pengunjung MARDI pasti terpikat dengan keindahan kolam ini.
Menyambut kedatangan tetamu di pintu masuk pejabat pentadbiran, ditanam pelbagai pokok baru yang popular dalam seni hias laman seperti pokok doa (busida busera) dan Calophyllum soulattri. Pokok canna dan lantana serta Alocasia (keladi batik) juga menjadi hiasan dalam bekas tanaman serta pasu bunga dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Berhampiran bangunan penyelidikan dibina wakaf dan pergola tempat rehat dengan pelbagai tumbuhan bermusim ditanam berselerak termasuk bunga tahi ayam, bunga matahari, lantana, petunia, misai kucing dan pelbagai tanaman lain turut ditanam. Orkid dan anthurium cultivar ditanam bawah teduhan.
Laman ini menampilkan penataan hias lebih moden dengan penggunaan dinding kaca menjadi tempat air jatuh mengalir di dinding manakala batu pasir dibina menjadi lantai pergola manakala batu sungai dan batuan putih dan kelabu di atur sepanjang siar kaki menuju wakaf.
Di hadapan pintu masuk pejabat pengurusan stesen, dibina satu laman menggabung pokok kesinai seakan bonsai dengan batu serta air keluar mengalir dari mulut tempayan. Laman ini nampak ringkas tetapi mempunyai karektor tersendiri.
INFO
Jom tiru laman MARDI
- Landskap kolam dengan air pancut di tengah-tengah.
- Gunakan pokok Fucraea foetida seperti pancuran air.
- Pelbagai jenis cordyline serta dracaena marginata ‘tricolor’ digabungkan seperti air pancut.
- Pokok bonsai Cina dan Zephyranthes candida, atau lebih dikenali sebagai Fairy Lily atau White Rain Lily menghiasi tepi batas seakan-akan sempadan atau bingkai kolam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan