Jumaat, 30 Mac 2012

myMetro | 53% tenaga guna gas asli

myMetro | 53% tenaga guna gas asli

TEPAT jam 8.30 malam Sabtu ini, kempen padamkan lampu, ‘Earth Hour’ akan kembali lagi serentak di seluruh dunia sejak ia mula dilancarkan pada 2009 lalu yang dianjurkan pertubuhan alam sekitar, WWF.

Kempen terbabit mungkin hanya sejam tetapi ia usaha yang boleh dikatakan mengagumkan termasuk di negara ini. Bayangkan penjimatan watt yang boleh diraih meskipun 60 minit bukanlah masa yang lama.


Bermula di Sydney, Australia, Earth Hour mendapat maklum balas memberangsangkan hingga menjadi ikutan negara lain di seluruh dunia.

Di Malaysia saja, Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga mengumumkan penggunaan tenaga elektrik jatuh 550 megawatt (mw) bersamaan 14 juta mentol kalimantang berkuasa 40watt setiap satu pada kempen 2009.


Pada tahun sama, dianggarkan enam juta penduduk Malaysia menyertai Earth Hour, pastinya kali ini lebih ramai menyahut objektif kempen terbabit dalam menambah kesedaran mengekalkan kehijauan bumi.


Persoalan yang timbul, berapa banyakkah penggunaan elektrik di Malaysia oleh kira-kira 28,725,010 penduduk negara ini seharian untuk menonton televisyen, menyejukkan minuman melalui peti sejuk, bermain game di komputer peribadi (PC) atau menyegarkan badan di bawah aliran penyaman udara?

Selain persoalan itu, timbul lagi pertanyaan yang menggusarkan kepala iaitu berapa banyak tenaga yang dibazirkan melalui penyalahgunaan elektrik terbebas tanpa kawalan?

Justeru masyarakat perlu faham keperluan tenaga amat penting dalam kitaran kehidupan manusia apatah lagi ia bersangkut-paut dengan pemanasan global yang menjadi isu hangat seluruh penduduk dunia.

Selain elektrik, sumber tenaga dihasilkan melalui kinetik, potensi, kimia, haba, radiasi (cahaya matahari) dan nuklear yang banyak didapati di negara seperti Vietnam, Indonesia malah tidak ketinggalan di negara ini.

Tenaga didefinisikan sebagai kebolehan dan keupayaan sistem untuk bergerak (mengikut definisi Greek) manakala definisi standard ialah keupayaan melakukan kerja seperti menggerakkan kereta atau menghidupkan monitor.

Kita harus memfokuskan tenaga yang dihasilkan melalui elektrik kerana ia sumber utama di negara ini dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) digerakkan dengan hidro atau haba (arang batu, minyak atau gas asli).

Tahap kecekapan tenaga diukur melalui kualiti penggunaan serta `input’ tenaga, di sinilah kecekapan dapat dilihat seterusnya menjawab persoalan adakah kita melakukan penjimatan tenaga atau tidak.

Beberapa perkakasan elektronik yang membebaskan tenaga termasuk lampu pijar, lampu `pendarfluor’, sel solar, enjin kereta dan motor elektrik.

Persoalan mengenai perbelanjaan wang ringgit juga perlu dibangkitkan jika berbincang mengenai kecekapan tenaga. Sebagai contoh, sebenarnya lampu pijar yang dibeli memiliki peratusan kecekapan tenaga rendah iaitu lima peratus. Ini kerana daripada jumlah RM10 dibelanjakan untuk sebiji lampu itu, hanya 50 sen menukarnya menjadi cahaya sementara RM9.50 lagi hanya memanaskan rumah akibat pembebasan tenaga.

Di Malaysia, bil elektrik dikira menggunakan kilowatt sejam (kWh) iaitu jumlah tenaga elektrikal digunakan mengikut kerangka tertentu.

Contoh perkiraan ialah kWh = kW x h = kuasa x masa = tenaga.

Kecekapan tenaga merujuk kepada produk atau sistem menggunakan tenaga yang kurang atau lebih berbanding produk atau sistem biasa untuk melakukan kerja.
Manakala kebaikan kecekapan tenaga membantu kehidupan manusia yang merangkumi pelbagai perkara termasuk menawarkan kuasa dan perkakasan kos efektif bagi masa depan tenaga lebih berkekalan.

Selain itu, ia mampu mengurangkan keperluan pelaburan dalam prasarana, menjimatkan kos minyak, meningkatkan daya saing dan memperbaharui kebajikan pengguna.

Alam sekitar juga turut terjamin apabila gas rumah hijau akan berjaya dikekang selain masalah pencemaran udara yang dapat diatasi. Tambahan pula, keselamatan tenaga itu sendiri dapat dijamin dengan mengurangkan pergantungan kepada minyak keluaran fosil.

Mengikut konteks Malaysia, kecekapan tenaga mengurangkan bil di rumah yang kerap dibazirkan sama ada disedari atau tidak.

Beberapa tip untuk menjimatkan produk elektronik seperti peti sejuk, penyaman udara, televisyen dan mesin basuh juga perlu dipandang serius masyarakat negara ini.

Mungkin kita perlu menukar peti sejuk model terkini kerana ia menjimatkan 15 peratus tenaga dan 40 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan produk yang dijual pada 2005.

Di samping itu, lebih baik kita menutup televisyen jika tidak digunakan berbanding mod bersedia kerana ia masih menghasilkan tiga hingga enam watt dan sebenarnya membazirkan tenaga.

Mesin basuh baru yang diiktiraf juga membantu menjimatkan 50 peratus tenaga berbanding model standard selain kandungan dalam peti sejuk perlu disusun dengan baik dan tidak terlalu padat kerana memerlukan tenaga berlebihan untuk menyejukkannya.

Selain itu, pengguna sendiri juga harus bijak memilih produk yang mempraktikkan piawaian standard seperti `Energy Star’ atau `Cekap Tenaga’ (Suruhanjaya Tenaga).

Mengikut Suruhanjaya Tenaga, penyaman udara menggunakan bahagian terbesar tenaga iaitu 50 hingga 60 peratus digunakan dalam pejabat.

Suasana selesa yang kerap digunakan pejabat mempunyai julat suhu antara 230 Celsius hingga 260 Celsius dengan kelembapan relatif (RH) kira-kira 60 dan 70 peratus.

Dengan mengubah suhu penyaman udara daripada 200 Celsius kepada 240 Celsius dalam sebuah pejabat akan menjimatkan kira-kira 33 peratus tenaga.

Kelengkapan pejabat seperti komputer, pencetak dan mesin fotostat menggunakan bekalan elektrik dan ia memerlukan penyaman udara untuk menghilangkan haba yang dihasilkan.

Peralatan tenaga utama dalam sebuah pejabat moden adalah komputer peribadi (PC) yang mana perbandingan dalam penggunaan tenaga bagi peralatan antara monitor yang besar, monitor skrin LCD dan komputer riba ialah 105watt, 69watt dan 19watt.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata, sebanyak 53 peratus tenaga elektrik negara ini dijana gas asli manakala arang batu turut memberikan 40 peratus bahannya untuk tenaga.

“Selain itu, lima peratus lagi dijana hidro dan selebihnya ialah diesel, minyak dan tenaga diperbaharui,” katanya.

Beliau memaklumkan, Malaysia terpaksa mengimport 550 juta kubik sekaki gas asli sehari dalam proses menjana elektrik serta 20 juta tan arang batu setahun untuk memenuhi permintaan sektor tenaga yang meningkat.

Isu perubahan cuaca yang menjadi kebimbangan seluruh penduduk dunia perlu memberi inspirasi kepada sektor korporat, hotel dan pusat beli-belah memadamkan lampu pada 31 Mac ini selain menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan kempen.

Inisiatif yang nyata memberi impak biar hanya sejam suis lampu dipadam mensasarkan pembabitan satu bilion manusia di kota seluruh dunia dan kita selaku warga bumi wajar memberi sokongan sebagai tanda keprihatinan sejagat.



Seperti dimaklumkan WWF, biarpun hanya sejam bergelap, kita mengurangkan pemanasan global daripada penggunaan bahan api fosil yang mewujudkan bekalan elektrik dan jika seluruh rakyat Malaysia menyertai kempen ini, bayangkan berapa banyak bahan itu dapat dikurangkan.

Earth Hour 31 Mac 2012

 

SMK Bukit Payong sebagai sebuah Sekolah Lestari menyokong dan komited kepada Earth Hour 2012.